Skip to main content

Hanna Faith

Nama saya Hannah Faith Gissong, berasal dari daerah Tambunan. Saya dilahirkan secara normal pada 28 Februari 2010 di Hospital Daerah Kudat. Saya membesar dengan sihat sehinggalah umur saya mencecah 4 bulan. Perkembangan saya agak lambat dan yang lebih merisaukan keluarga saya ialah keadaan bibir, lidah, kuku dan di sekeliling mata saya yang kelihatan biru kehitaman. Keadaan ini lebih ketara semasa saya menyusu, menangis, ketawa dan mandi. Saya juga cepat letih jika terlalu banyak bergerak seperti meniarap dan merangkak atau bermain dengan kakak saya.

Ibu saya membawa saya berjumpa dengan doktor di Hospital Daerah Kudat yang kemudiannya menetapkan temujanji dengan doktor pakar di Hospital Wanita dan Kanak-kanak (HWKKS) Likas untuk pemeriksaan lanjut dan pada umur 8 bulan saya disahkan menghidap jantung berlubang TOF (Tetralogy Of Fallot). 

Menurut ibu saya, saya sepatutnya hanya akan menjalani pembedahan ketika berusia 5 hingga 7 tahun mengikut giliran menunggu yang ramai di Insitut Jantung Negara (IJN). “Rencana Tuhan itu sentiasa indah pada waktunya” kata ibu saya. Kami ditawarkan untuk mengikuti program tajaan Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah (SOSHF) bersama badan NGO Korean Food for The Hungry International (KFHI) Sabah ke Korea untuk menjalani pembedahan jantung.

Saya bersama-sama dengan beberapa pesakit lain ditemani oleh penjaga masing-masing dan Mrs. Lee sebagai pengiring kami telah berlepas ke Korea pada hujung bulan Mac 2012. Saya selamat menjalani pembedahan pada 28 Mac, 2012 iaitu tepat sebulan selepas harijadi saya yang ke 2 tahun di Hospital Sejong, Korea. Saya masih ada beberapa ingatan tentang apa yang berlaku semasa di Korea terutama ketakutan saya apabila melihat jururawat yang datang setiap pagi untuk membersihkan luka pembedahan saya. 

Kami sekeluarga sangat bersyukur kepada Tuhan dan terhutang budi serta berterima kasih kepada Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah (SOSHF), Datuk Eva Susau dan staff SOSHF, badan NGO Korean Food For The Hungry International (KFHI) Sabah, Mr. & Mrs. Lee, semua doktor dan jururawat di HWKKS Likas dan Hospital Sejong, Korea yang telah membenarkan Tuhan menggunakan mereka sebagai saluran berkat untuk menyembuhkan saya. 

Kini saya membesar dengan sihat dan cerdas dalam pelajaran serta aktif dalam kokurikulum di sekolah. Saya juga menyertai seni mempertahankan diri Taekwondo. Marilah kita sama-sama menjalani kehidupan yang sihat dan sayangilah jantung kita kerana kita hanya mempunyai satu jantung dan tidak ada gantinya. Saya sayang jantung saya dan saya berazam apabila besar nanti akan cuba membantu pesakit-pesakit jantung yang lain semampu yang boleh.
Salam Damai & Terima Kasih.

- Ditulis oleh Hannah Faith (2021)