Nurjannah Fatimah
Nurjannah atau lebih mesra dipanggil Jannah, bukanlah anak yang sebertuah anak orang lain. Dia dilahirkan dalam keadaan yang serba kekurangan dari segala segi. Kini dia telah berumur 3 tahun dan membesar di daerah Semporna.
Pada 12 April 2019, kami ke lapangan terbang untuk pergi ke Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan jantung. Semasa menaiki kapal terbang, saya tidak mengetahui selok-belok kerana ini adalah kali pertama kami menaiki pesawat. Demi anak, saya hilangkan perasaan malu dan takut. Syukur kerana Tuhan memudahkan urusan, kami dipertemukan dengan penumpang-penumpang yang baik hati di dalam kapal terbang.
Jannah ialah pesakit yang bertuah kerana mendapat layanan daripada doktor pakar pediatrik jantung. Doktor memberitahu bahawa 13.4.2019 Jannah harus dibedah kerana adalah lebih baik pembedahan diawalkan. Jika lebih lama tinggal di sini, Jannah berkemungkinan akan dijangkiti demam dan lain-lain. Jika dia demam, pembedahan tepaksa ditunda sehingga demam sembuh. Setelah pembedahan, Jannah semakin sihat dan membesar dengan cerdas dan pintar.
Di sini mama Jannah ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah dan pihak hospital kerana telah membantu Jannah. Kami tidak dapat membalasnya walau dengan nyawa sekali pun kerana bantuan mereka terlalu besar dan amat bermakna buat kami, hanya Tuhan yang dapat membalas jasa baik mereka.
- Ditulis oleh ibu Jannah (2021)

