Georgina Fl
Georgina dilahirkan pada 12 September 2007 di Hospital Likas. Pada awalnya, Georgina hanya menghidapi Jaundice yang sememangnya biasa dihidapi oleh bayi-bayi yang baru lahir. Namun selepas lebih seminggu berlalu, penyakit Jaundice Georgina tidak bertambah baik malahan doktor mendapati ada kelainan pada Georgina di mana dia sering kelihatan lemah dan tidak bermaya. Oleh itu, doktor memutuskan untuk membuat pemeriksaan lebih teliti lagi terhadap Georgina dan disahkan bahawa dia menghidapi penyakit jantung berlubang.
Sememangnya kami sangat sedih dan susah hati mendengar berita tersebut. Kami tidak dapat bayangkan apa yang harus kami lakukan agar Georgina sembuh kerana dia masih lagi bayi dan bagaimana dia harus dibedah. Kami sangat risau akan keadaannya dan doa yang tidak putus-putus sentiasa bersama kami. Kami berdoa Tuhan memberi dia peluang untuk melihat dunia, kami tidak berhenti-henti mengharap pertolongan dari Tuhan.
Dan syukur doa kami didengar, doktor yang merawat Georgina memberitahu kami bahawa SOS Heart Fund telah memilih Georgina untuk menjalankan pembedahan di Hospital Gleneagles, Kuala Lumpur. Perbelanjaan pembedahan tersebut ditanggung sepenuhnya oleh SOS Heart Fund. Georgina berumur 4 bulan semasa menjalani pembedahan tersebut. Dengan bantuan SOS Heart Fund, Georgina dapat sembuh dan kini perkembangan kesihatannya semakin baik. Bantuan daripada SOS Heart Fund merupakan berkat yang amat besar kepada kami. Kami sekeluarga amat bersyukur dan berterima kasih kepada SOS Heart Fund atas bantuan yang amat bermakna kepada kami.
- Ditulis oleh ibu Georgina

