Skip to main content

Irene Foo Yi Ting

Irene kini berumur 8 tahun dan berasal dari Tawau. Sebelum saya dan anak saya Irene ke Korea, 2 bulan sebelumnya kami dimaklumkan bahawa kami akan bertolak ke Korea pada bulan October. Sebagai seorang ibu, selepas diberitahu tentang perkara itu, hati saya tidak tenang dan sentiasa dalam kerisauan. Risau tentang pembedahan, keadaan di sana nanti, makan dan minum, tempat tinggal dan banyak perkara lagi yang membuatkan saya risau. Dua minggu sebelum kami bertolak, anak saya Irene jatuh sakit, dia mengalami batuk dan demam. Perasaan saya ketika itu seperti tidak ingin meneruskan rancangan ke Korea. Tetapi Puji Tuhan, selepas saya menghantar Irene ke klinik, mengambil ubat yang telah diberikan oleh doktor, Irene terus sembuh.

Ketika dalam perjalanan ke Korea, saya sentiasa berdoa supaya pembedahannya berjaya, berjalan lancar dan cepat kembali ke tanah air. Setibanya kami di Korea, segala kerisauan beransur hilang kerana kami melihat layanan doktor, jururawat dan petugas di Sejong General Hospital, Korea sungguh baik. Dan ramai Pastor datang melawat dan mendoakan kanak-kanak.

Selepas pembedahan, hati saya berasa cukup lega. Saya melihat semua kanak-kanak dari Malaysia selamat dibedah dan proses penyembuhan juga cepat, Puji Tuhan. Saya juga amat bersyukur kerana dapat bersama-sama dalam kumpulan ini. Setiap ibu-ibu dapat bekerjasama dan tolong-menolong. Kami seperti sebuah keluarga walaupun ada yang berlainan agama.

Saya juga bersyukur kerana anak saya Irene mendapat sumbangan dan bantuan ini sehingga berjaya dibedah. Ribuan terima kasih kepada Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah, KFHI dan semua yang terlibat, hanya Tuhan yang dapat membalas segala jasa baik yang telah diberikan. Tidak lupa juga penghargaan saya berikan kepada Mrs. Lee yang setia menjaga dan membantu kami ketika berada di Korea. Tuhan memberkati anda semua.

- Ditulis oleh Ibu Irene Foo (2020)