Jason Johny
Jason Johny kini berumur 4 Tahun dan tinggal di Kg. Kipouvo, Penampang. Jason merupakan anak kami yang pertama dan dia mempunyai seorang adik lelaki. Jason disahkan menghidap penyakit jantung pada 20/10/17. Pada ketika itu pernafasannya sangat laju dan sukar untuk bernafas. Selain itu, dia juga tidak mahu menyusu dan mengakibatkan berat badannya menyusut dan sering kali menangis. Kami sebagai ibubapa sangat sedih apabila doktor memberitahu keadaan anak kami yang menghidap penyakit jantung.
Pada 17/12/2017, Jason dijadualkan untuk pergi ke Institut Jantung Negara, Kuala Lumpur untuk menjalani pembedahan jantung. Kami sangat risau ketika itu kerana kami tidak mempunyai wang untuk menampung kos pembedahan, perbelanjaan dan perjalanan ke Kuala lumpur. Selain itu, ini adalah kali pertama saya dan anak menaiki pesawat ke Kuala Lumpur. Perasaan ketika itu sangat bimbang, namun kami bersyukur kerana ahli keluarga banyak memberikan sokongan dan doa untuk kami. Saya berasa lega selepas ramai pihak yang memberikan kata-kata dorongan dan anak juga membuat saya untuk menguatkan semangat untuk menghadapi saat sukar ini. Selepas pembedahan berjaya, Jason semakin aktif dan ceria. Dia mulai kuat menyusu dan semakin pulih.
Harapan kami sebagai ibubapa adalah agar Jason membesar dengan sihat. Ribuan terima kasih juga kepada pihak Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah kerana telah menaja kos rawatan dan pembedahan Jason, kepada ahli keluarga, rakan-rakan dan semua pihak yang juga telah banyak membantu kami, terima kasih.
- Ditulis oleh ibu Jason (2021)

