Ivy Lynn
Ivy Lynn Ridi kini berumur 5 tahun dan berasal dari Kg. Lasau Minunsud, Kota Belud, Sabah. Doktor memaklumkan bahawa anak kami Ivy disahkan menghidap penyakit jantung berlubang semasa umur 4 bulan, dan keadaannya sangat membimbangkan dan merisaukan kami kerana berat badannya menurun dan tidak meningkat. Setiap kali minum susu sama ada menggunakan botol susu atau susu badan dia tetap akan kelihatan penat dan mulut menjadi kebiruan. Selain itu, ketika menangis juga dia tidak mengeluarkan suara, walaupun ada, suaranya sangat perlahan dan hampir tidak kedengaran.
Antara cabaran yang kami hadapi sebagai ibubapa ialah dari segi kewangan dimana kami hanya bergantung sepenuhnya kepada hasil menoreh getah. Selain itu, kami juga menghadapi masalah pengangkutan untuk digunakan ulang alik ke hospital pada waktu itu kerana anak kami diberikan temujanji dan hampir setiap minggu anak kami dimasukkan ke hospital. Dalam masa yang sama, kami juga risau tentang kos rawatan dan pembedahan kerana kami berasal dari keluarga yang kurang berkemampuan dari segi ekonomi.
Atas nasihat doktor pakar, anak kami berjaya menjalani pembedahan di Hospital Gleneagles Kuala Lumpur dan kami berada di sana dari 28/11/2016 sehingga 09/12/2016. Puji Tuhan selepas anak kami menjalani pembedahan, dia lebih aktif dan lebih ceria dan ini adalah kali pertama kami menaiki kapal terbang.
Kami ingin mengucapkan berbanyak terima kasih khususnya kepada Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah yang telah membantu kami menyelesaikan masalah kos perbelanjaan dan pembedahan anak kami, dan semua yang terlibat membantu dari segi kewangan, sokongan moral, semangat dan Doa, kami tidak dapat menyebut satu persatu nama, semoga Tuhan memberkati sumber ekonomi, pekerjaan dan keluarga anda semua. “TETAP SEMANGAT WALAU APAPUN MASALAH YANG DIHADAPI”. Dan paling utama jangan lupa bahawa Doa itu besar kuasaNya.
- Ditulis oleh ibu Ivy Lynn Ridi (2021)

