Diyanah Nadiah
Pada 22 Julai 2015 Diyanah Nadiah dilahirkan secara normal dengan berat 2.45kg dan Diyanah dimasukkan ke NICU kerana premature 36 minggu. Selepas beberapa hari didalam NICU level 1, Diyanah disyaki ada masalah jantung kerana apabila jururawat yang bertugas memberi susu, Diyanah memuntahkan susu keluar berkali-kali. Doktor mengesahkan Diyanah menghidap masalah usus pada mulanya iaitu Duodenal Stenosis with Annular Pancreas. Diyanah melakukan pembedahan pertama pada usia 7 hari dan syukur kerana pembedahan pertama selamat dan berjalan lancar.
Namun begitu, doktor sekali lagi mengesahkan Diyanah menghidap masalah jantung iaitu Double Outlet Right Ventricle with Pulmonary Stenosis. Pakar jantung memberi tarikh pembedahan pada bulan Mei 2016 dan pembedahan harus dilakukan di hospital Gleneagles KL. Dalam masa yang sama hati saya berbaur rasa bimbang dengan masalah kewangan dan kesihatan Diyanah. Petang itu saya dihubungi oleh pihak Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah. Mereka telah menyediakan tiket kapal terbang untuk saya dan Diyanah. Sesungguhnya ketika itu saya dan suami hanya kais pagi makan pagi. Kewangan kami sangat terhad dan saya juga tidak bekerja waktu itu, hanya menumpang di rumah saudara. Pihak SOSHF iaitu Datuk Eva juga datang melawat ke rumah saya dan mereka sendiri menghulurkan duit poket kepada saya. Saya amat berterima kasih dan rasa terhutang budi ketika itu.
Selepas pembedahan jantung, Diyanah semakin sihat dan juga aktif walaupun berat badan kekal sukar untuk naik dan amat mebimbangkan kami. Temujanji untuk pemeriksaan jantung hanya 2 kali setahun kerana masalah jantung Diyanah tidak kritikal cuma perlu pantauan dari masa ke semasa sahaja.
Alhamdulilah sebagai ibubapa saya dan suami sangat berbesar hati dengan bantuan kewangan daripada pihak S.O.S Heart Fund terutamanya kerana sering membantu kami. Begitu juga dengan keluarga dan saudara-mara yang sering membantu kami sama ada dari segi kewangan dan sokongan moral. Semoga lebih ramai pihak yang tampil membantu keluarga yang memerlukan seperti kami pada masa akan datang. Tuhan memberkati untuk setiap pihak yang menghulur tangan, meringankan beban kami.
- Ditulis oleh ibu Diyanah Nadiah (2020)

