Skip to main content

Arion Allyando

Arion Allyando berumur 3 tahun dan berasal dari Kg. Paginatan, Ranau. Pertama kali kami dimaklumkan oleh doktor bahawa Arion menghidap penyakit jantung semasa umur Arion 3 hari. Ketika saya mendapat berita tersebut, saya dan seluruh ahli keluarga sangat sedih dan risau kerana keadaan Arion yang sangat kecil ketika itu, bibir menjadi biru dan kuat berpeluh ketika menyusu, cepat penat dan pernafasannya juga laju.

Antara masalah dan halangan yang yang kami alami semasa menghantar anak untuk temujanji ke hospital ialah hal kewangan dan kenderaan. Kami terpaksa membayar teksi untuk ulang alik ke hospital dan tambangnya sangat mahal. Apabila mendapat tahu tentang anak perlu dibedah, kami sangat risau dan sedih. Akan tetapi kami beransur lega dan amat bersyukur kerana doktor memberitahu bahawa Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah akan menaja keseluruhan kos rawatan dan pembedahan Arion di IJN Kuala Lumpur.

Semasa di kuala lumpur, kami berasa selesa kerana layanan doktor dan jururawat sangat baik dan sering memberikan penjelasan tentang sebelum dan selepas pembedahan. Ketika anak dibedah, mereka menyediakan tempat tidur khas yang selesa untuk ibu-ibu sementara menunggu anak keluar dari ICU. Selepas pembedahan bibir Arion kembali kemerahan, berat badan juga meningkat, pernafasannya kembali normal dan lebih aktif.

Saya berharap agar Arion sentiasa sihat seperti kanak-kanak lain, dapat bersekolah, dan apabila dewasa nanti dia akan mendapat pekerjaan yang bagus. Kami amat gembira dan menyokong khidmat Persatuan untuk membantu lebih banyak kanak-kanak yang mengalami masalah yang sama, yang memerlukan bantuan. Akhir sekali, terima kasih kami ucapkan kepada semua pihak yang telah berusaha membantu kami. 

Terima kasih Persatuan Tabung Pesakit Jantung Sabah!

Ditulis oleh ibu Arion Allyando (2022)